Maulid Akbar
Maulid Akbar ini telah dianjurkan buat pertama kalinya pada tahun 2012, bersamaan dengan 1433H, dan mendapat sambutan yang sangat luar biasa sehingga kini. Ribuan jemaah lelaki dan wanita akan membanjiri Masjid Muadz Bin Jabal untuk meraikan sambutan Maulid Akbar anjuran Majlis Talim Darul Murtadza.
Tema Tahunan
2025 - Ilmu & Adab Perkasa Ummat (Akan Datang)
2024 - Rasulullah SAW & Misi Perdamaian Dunia
2023 - Sunnah Rasulullah Dalam Hiburan
2022 - Anak Muda Kebanggaan Rasulullah
2021 - Akhlak Teragung
2020 - Bersamamu Kami Bahagia
2019 - Aku Adalah Rahmat
2018 - Rasul Pembawa Rahmat Keseluruh Alam
2017 - Cahaya Teladan
2016 - Rasulullah Hadiah Teragung
2015 - Rasulullah Kami Bersamamu
2014 - Rasulullah Penyatu Ummah
2013 - Habibi Rasulullah
Objektif Maulid Akbar
Melahirkan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan mencintai dan mencari ilmu sebagai bekalan duniawi dan ukhrawi. Mengeratkan silaturrahim dan ukhuwah sesama Muslim, khususnya bagi warga kota. Melahirkan masyarakat yang terdidik dengan ilmu yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.
Majlis Ta'lim Darul Murtadza
Majlis Ta’lim Darul Murtadza (MTDM) dimulakan dan diasaskan oleh Al Habib Abdul Qadir Al Jufri. Namun setelah berpindah ke Kota Tinggi, Johor pada tahun 2004, Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid telah diamanahan untuk mengambil alih, seterusnya menyambung pengajian Majlis Ta’lim ini.
Pada tahun 2011, Majlis Ta’lim Darul Murtadza telah didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia sebagai Pertubuhan Kebajikan Darul Murtadza Kuala Lumpur (Reg. No. 5143-11-WKL). Pendaftaran secara rasmi ini memudahkan MTDM bergerak sebagai NGO yang aktif dalam usaha-usaha dan aktiviti penyebaran dakwah Islamiah, khususnya di Lembah Klang.
Yayasan Ar-Ri'ayah
Yayasan Ar-Ri’ayah merupakan suatu inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi salah satu penyumbang utama di dalam pembangunan dan kemajuan Pendidikan Islam di Malaysia secara holistik dan sejagat.
Yayasan ini diasaskan oleh tokoh ilmuwan Islam Malaysia iaitu Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid dan telah berjaya didaftarkan pada 5 Disember 2017 di bawah Akta Pemegang Amanah (Perbadanan) 1952 (Akta 258), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
Yayasan Ar-Ri’ayah telah diberi nama oleh ‘ulama tersohor dunia, Al-‘Allamah Al-Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafidz yang juga pengasas institut Pengajian Tinggi Darul Musthofa, Tarim, Hadramaut, Yaman. Perkataan “Ar-Ri’ayah” berasal daripada Bahasa Arab yang membawa maksud “Naungan”, selaras dengan hasrat Yayasan untuk menaungi segenap usaha dalam pembangunan pendidikan dan dakwah di Malaysia.
Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid merupakan seorang tokoh ilmuwan Islam yang berperanan besar dalam pengembangan dakwah dan pendidikan rohani di Malaysia. Beliau berkelulusan dalam bidang Syariah dan Undang-undang Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir, dan menyambung pengajian dalam bidang Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hingga ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah. Pengalaman awal beliau menuntut ilmu secara talaqqi di Dar al-Mustafa, Tarim, di bawah asuhan Al-Habib Umar bin Hafidz, membentuk pendekatan dakwah beliau yang berasaskan ilmu bersanad, akhlak, dan penyucian jiwa.
Beliau kini berperanan sebagai Pengerusi dan Pembimbing Utama Majlis Ta’lim Darul Murtadza, sebuah institusi pengajian ilmu Islam terbuka yang menumpukan kepada pengajian kitab turath secara konsisten kepada masyarakat. Dalam masa yang sama, beliau turut memimpin Yayasan Ar-Ri’ayah, sebuah entiti kebajikan dan pendidikan yang aktif memperkasa usaha dakwah dan pembangunan komuniti.